Wednesday, December 28, 2011

SERAH BORANG SBPA DILANJUT DILANJUTKAN KE 15 JANUARI



Berita Harian

Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.m
2011/12/24

Permohonan opsyen usia pencen 60 tahun kekal 31 Disember: JPA


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju supaya tarikh akhir menyerahkan borang opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilanjutkan kepada 15 Januari ini bagi memberi lebih masa kepada kakitangan yang berkaitan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA, Datuk Dr Ismail Alias, berkata tarikh akhir untuk penyerahan borang opsyen bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun kekal pada Sabtu depan.
Perkara itu adalah antara persetujuan bersama antara JPA dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam perbincangan kedua-dua pihak berkaitan pelaksanaan SBPA di sini semalam.


Pada masa sama, Ismail mengesahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, sendiri akan mengadakan satu taklimat khusus berkaitan SBPA dan penyelarasan gaji kepada wakil CUEPACS dan semua jabatan pada minggu depan.


“Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, tempoh opsyen (lanjutan) umur persaraan kepada 60 tahun tetap (berakhir) pada 31 Disember kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.


“Bagi opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak (31 Disember ini), JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, di Ibu Pejabat JPA, di sini, semalam.
Rundingan lebih tiga jam itu diadakan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, supaya JPA dan CUEPACS segera duduk semeja bagi menyelesaikan semua isu berbangkit berhubung SBPA, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan.


Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.


Dalam pada itu, Ismail juga mengesahkan JPA dan CUEPACS menetapkan tiga bulan untuk menyelesaikan isu pelarasan gaji anggota keselamatan Gred 17 supaya mereka dapat menikmati kadar upah sama dengan kakitangan kerajaan berkhidmat di bahagian pentadbiran bergred itu.


Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan JPA juga secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan SBPA dan akan bersama-sama menyelesaikan lima isu dibangkitkan sebelum ini termasuk dasar pemisah atau ‘exit policy’.


Katanya, JPA juga meminta penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA supaya tidak bimbang kerana seorang wakil CUEPACS akan dilantik selaku pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau pelaksanaan tindakan tatatertib.


Beliau juga berkata, ketua jabatan dan agensi tidak berkuasa memecat kakitangan bawahan sesuka hati dan hanya JPA boleh berbuat demikian.


“JPA juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan ‘exit policy’ daripada enam bulan kepada setahun bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan prestasi kerja dan tahap produktiviti mereka.


“Sekiranya produktiviti mereka tidak bagus, barulah JPA akan menasihatkan penjawat awam berkenaan supaya berhenti cara 'baik' sebelum tindakan ‘exit policy’ diambil, sekali gus memudahkan mereka mencari rezeki di tempat lain dan boleh menikmati kemudahan pencen seperti pesara kerajaan lain,”katanya

CUEPACS LEGA 5 ISU BERBANGKIT SELESAI



Berita Harian

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/12/24

Pertemuan dengan JPA jelas kekeliruan timbul


KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.
Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.


Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.


Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.


“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.


Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.


Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.


“Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,” katanya. 

Sunday, December 18, 2011